Sekapur Sirih
 
 

Ucapan Encik Sajali @ Ismail Bin Ojek, Pengerusi KOPERKASA semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2012 & Ulang Tahun Koperkasa Ke-63 pada 6 September 2012

Bismillah Hirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera, Salam Satu Koperkasa, Selamat Hari Raya dan Salam Merdeka dan Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-63 KOPERKASA

Yang Saya Hormati Wakil Pengarah SKM Cawangan Sarawak,
Encik Liew Liuk Chim
Yang Saya Hormati juga, Mantan Pengerusi-Pengerusi KOPERKASA,
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Cawangan Sarawak,
Ketua-Ketua Jabatan & Pengerusi-Pengerusi Koperasi,
Anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalam,
Para Perwakilan KOPERKASA,
Pihak Pengurusan dan Kakitangan KOPERKASA serta Tuan/Puan yang saya hormati.

Alhamdulillah, saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah kerana diberi kesempatan bagi kita menyambut 63 tahun pergerakan Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad serta Merdeka Raya.

Setelah Anggota Lembaga baru mengambil alih, perjalanan dan transformasi yang telah dibuat bagi mengembalikan imej Koperkasa dengan membuat satu anjakan paradigma yang holistik.

Saya ingin merakam setinggi penghargaan kepada CEO SKM Kuala Lumpur dan Pengarah SKM Sarawak, SKM Bahagian Kuching/Samarahan yang banyak membantu kita dalam menyusun semula Koperkasa bersama ALK.

Bagi memastikan hasrat untuk memajukan Koperkasa tercapai, semua pihak telah memainkan peranan masing-masing dengan rasa tanggungjawab.

Saya amat beruntung kerana ALK, Audit, Perwakilan serta pihak pengurusan yang sedia ada mempunyai hala tuju yang jelas untuk memasti transformasi tercapai.

Saya juga mengambil kesempatan ini, pada tarikh keramat Koperkasa iaitu pada 6 September, merakam setinggi penghargaan kepada Mantan Pengerusi-Pengerusi terdahulu yang banyak memain peranan bagi keteguhan Koperkasa.

Dari itu dengan usia 63 tahun Koperkasa, saya menyeru supaya kita terus berkerjasama untuk mencapai cita-cita besar bagi memajukan KOPERKASA. Tanpa kerjasama semua pihak yang terlibat dalam Koperasi, usaha untuk membawa Koperasi mencapai matlamatnya akan melalui liku-liku yang sukar. Sebaliknya jika semua anggota sanggup berkerja bersama-sama dan bertanggungjawab untuk mencapai cita-cita Koperkasa, maka pelaksanaannya akan menjadi lebih mudah ibarat kata bidalan “Berat sama dipikul ringan sama di jinjing”. Saya mengambil kesempatan malam ini untuk mengucap terima kasih dan penghargaan kepada Ketua-Ketua Jabatan kerana membantu dalam potongan gaji dan kita mengharapkan mereka terus memberi sokongan yang padu kepada Koperkasa.

Sempena 63 tahun Koperkasa, saya ingin menyeru kepada anggota supaya memahami terhadap falsafah, konsep dan nilai berkoperasi. Walaupun perkara ini nampaknya kecil tetapi perkara pokok ini amat penting bagi membolehkan warga Koperasi memahami tujuan sebenar mengapa mereka berkoperasi.

Terdapat anggota yang menyertai Koperasi kerana semata-mata ingin mendapat dana pembiayaan dan pulangan dividen tahunan. Tanggapan ini perlu diubah supaya anggota menyertai Koperasi untuk berkerja bersama-sama membangun Koperasi.

Semua kita harus menjunjung Prinsip Berkoperasi, mengurus secara professional, memerap nilai-nilai keusahawanan dan meningkat Latihan dan Pendidikan bagi memperkasakan Modal Insan.

Dengan ada sebegini Koperkasa mempunyai peluang dan masa depan yang terbuka luas.

Oleh itu sewajarnya Koperasi perlu bermuhasabah diri dengan menggunakan kekuatannya untuk merebut peluang yang terbuka disamping menggunakan kekuatannya juga untuk menangi ancaman dan memperbaiki kelemahan.

Akhir kata saya ingin sekali lagi merakam setinggi terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola serta hadirin yang sudi hadir ke Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri Sempena Ulangtahun Ke-63 KOPERKASA.

 

Wabillahitaufik Walhidayah
Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh.

1 KOPERKASA